Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (Pemuda PAS Sarawak) menyelar dengan sekeras-kerasnya penulisan yang menghina masyarakat Iban di Sarawak sebagaimana yang telah disiarkan oleh majalah Asian Beacon Jilid 44. Tulisan Henry Ng itu amat mengguris perasaan masyarakat Iban di Sarawak dan rakyat Sarawak keseluruhannya.
Pemuda PAS Sarawak merasakan adalah amat penting untuk semua pihak mengkaji sesuatu perkara atau isu secara professional dan saksama. Sebarang kenyataan harus mengambil kira semua aspek yang berkenaan tanpa dipengaruhi oleh sentiment emosi yang tidak berasaskan fakta. Kenyataan Henry Ng yang membesar-besarkan isu arak dan rokok di kalangan masyarakat Iban adalah suatu ‘over-generalization’ yang kurang adil kerana masalah seperti itu juga dihadapi oleh masyarakat lain di seluruh dunia. Pemuda PAS Sarawak menegaskan kepentingan mengambil pendekatan berhikmah bertunjangkan agama dalam menangani permasalahan ini secara berkesan. Kami juga merasakan penjelasan daripada Pengerusi SDNU Sibu, Saudara Chambai Lindong berkenaan tuduhan makanan tertentu yang dinikmati oleh masyarakat Iban sebagai memadai untuk membetulkan salah faham yang ditimbulkan oleh penulis Asian Beacon itu.
Dalam masa yang sama, Pemuda PAS Sarawak ingin menegaskan komitmen kami dalam membela nasib dan hak semua kaum khususnya mereka yang tertindas di seluruh Sarawak. Kita amat sedar bahawa penulisan dan kenyataan yang berbaur perkauman dan bersifat menghina masyarakat lain adalah suatu amat tidak bertanggungjawab. Namun kita juga yakin bahawa dasar-dasar kerajaan yang menekan rakyat dengan merampas tanah-tanah NCR dan membiarkan sebahagian besar rakyat Sarawak terbelenggu dengan kemiskinan dan masalah kekurangan kemudahan asas juga adalah juga satu bentuk penghinaan kepada rakyat. Untuk rekod, hampir 50% keluarga miskin Sarawak adalah dari kalangan orang Iban dan 20% pula dari kalangan orang Melayu.
Oleh itu, dengan tegas kami mendesak Henry Ng untuk menarik-balik kenyataan beliau seperti yang disiarkan dalam majalah Asian Beacon dan memohon maaf kepada seluruh masyarakat Iban Sarawak atas laporan beliau yang tidak bertanggungjawab itu. Kami juga menyeru semua pihak untuk sentiasa bersikap adil dan saksama dalam menilai setiap perkara bagi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negeri ini.
AIZAN B MOHD NOOR
Naib Ketua Pemuda PAS Sarawak
Ketua Lajnah Perpaduan Nasional DPPNS
0 comments:
Post a Comment