Saturday 16 July 2011

MAJU TERUS MAJU! 'PASUKAN BOLA SEPAK SARAWAK'




Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh pemain khususnya dan barisan pihak pengurusan pasukan bola sepak Sarawak di atas kejayaan menamatkan saingan Liga Premier 2010/2011 sebagai naib juara. Sekaligus melayakkan Sarawak beraksi secara 'automatik' di Liga Super pada musim hadapan. Penyertaan Sarawak dalam Liga Super telah disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM). Sudah pasti dengan kehadiran Sarawak akan lebih menghangatkan lagi persaingan dalam merebut kejuaraan Liga Super musim 2011/2012.

Apa yang diharapkan adalah bukan sahaja sokongan padu daripada peminat bola sepak Sarawak, tetapi yang paling penting perhatian daripada kerajaan negeri dalam memastikan segala isu berkenaan pasukan ini sentiasa diambil berat dan diselesaikan. Ini bertujuan sebagai langkah untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah dalaman seperti sebelum ini yang boleh mempengaruhi prestasi pasukan bola sepak kita. 

Masalah kewangan adalah antara isu yang biasa menjadi punca utama kemerosotan prestasi di dalam sesebuah pasukan. Oleh itu, pihak pengurusan dan kerajaan negeri terutamanya haruslah memastikan peruntukan yang disediakan benar-benar mencukupi. Peruntukan yang dimaksudkan adalah dari segi gaji pemain dan pengurus, imbuhan insentif kepada pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim, dana untuk meningkatkan kualiti padang dan penyenggaraan stadium.

Kepada semua pemain bola sepak Sarawak, DPPNS ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya. Teruskan tingkatkan prestasi, semoga Sarawak kembali menjadi sebuah pasukan yang digeruni. Di pihak DPPNS, juga akan bersama-sama dalam usaha membangunkan dan memartabatkan sukan bola sepak Sarawak. Dengan menganjurkan aktiviti seperti pertandingan bola sepak dan futsal, dari sini kita boleh mencari bakat-bakat baru yang mempunyai kemahiran tinggi dan berkualiti sebagai persediaan membina pasukan pelapis yang lebih mantap.

0 comments:

Post a Comment

Pautan Popular

Blog Ketua Pemuda PAS Malaysia

Pengunjung

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More