Wednesday 29 February 2012

Catatan Ketua Pemuda PAS Sarawak: Ziarah ke Tiris, Bekenu



Alhamdulillah pada hari Ahad, 26 Februari 2012 yang lepas saya bersama-sama
sahabat-sahabat daripada PAS Kawasan Miri telah mengadakan siri ziarah ke
Tiris, Bekenu. Bekenu merupakan sebuah daerah yang terletak di dalam
Bahagian Miri dalam Parlimen Sibuti. Perjalanan daripada Bandaraya Miri ke
pecan Bekenu mengambil masa lebih kurang 50 minit. Kebanyakan penduduk di
daerah Bekenu adalah berbangsa Kedayan dan Iban. Sementara Tiris pula
terletak lebih kurang 6 kilometer daripada pecan Bekenu.

Kami memulakan perjalan pada hari tersebut pada pukul 2 petang dan kami
berhimpun di Masjid Kampung Luak sebelum memulakan perjalanan.
Alhamdulillah pada petang tersebut ALLAH telah turunkan hujan rahmat
mengiringi perjalanan kami tidak seperti hari-hari sebelumnya yang panas.
Kami bergerak dengan 2 buah pacuan empat roda dan sebuah MPV Citra. Saya
memandu Citra saya untuk pergi ke tempat tujuan kami.

Turut bersama-sama di dalam perjalanan kami ini adalah YDP PAS Kawasan Miri
merangkap Timb. Persuruhjaya 3 PAS Sarawak. Kami tidak pergi dengan tangan
kosong dengan membawa 50 bungkusan bantuan kebajikan yang seperti biasa
kami lakukan. Alhamdulillah perjalanan kami bermula dengan baik walaupun
hujan turun sekejap lebat dan sekejap renyai.Kami sampai di simpang pecan
Bekenu pada jam 2.40 petang dan kami teruskan perjalan pula ke Tiris.

Pada gambaran awal saya kami boleh sampai ke Tiris sebelum jam 3 petang
memandangkan baki perjalanan hanya lebih kurang 6 kilometer. Namun
pandangan dan gambaran asal saya jauh meleset. Sebaik sahaja tiba di
simpang masuk ke Tiris telah nampak sebuah jalan tanah merah berbatu. Dalam
keadaan hujan pada petang tersebut menjadikan perjalanan kami masuk ke
Tiris semakin sukar. Jalan tanah merah berbatu ini dipenuhi dengan lopak
selepas hujan dan berbukit. Di sesetengah kawasan jalan kami terpaksa
melalui jalan di lereng bukit yang curam.

Dalam benak fikiran saya, bagaimana jalan di sebuah kawasan yang terletak
dalam sebuah negeri yang telah merdeka lebih 40 tahun, dalam sebuah negeri
yang kaya, di dalam bahagian yang menjana sumber pendapatan negeri dan
negara masih lagi belum memiliki kemudahan asas yang cukup baik. Akhirnya,
Alhamdulillah kami selamat tiba di lokasi tujuan kami pada jam 3.30 petang
dalam suasana masih hujan.

Dalam ziarah ini kami telah Berjaya menyampaikan bantuan kebajikan kepada
30 orang penerima bantuan dan bertemu lebih 50 orang dalam suatu majlis
ringkas. Dalam perjalan ke tempat program sempat juga kami menyapa dan
beramah-mesra den gan penduduk-penduduk kampung yang diduduk di hujung
jambatan. Mereka mengatakan itulah rutin hujung minggu mereka, kerana tidak
ada kemudahan atau tempat komersial di dalam Tiris sedangkan Tiris antara
tempat yang menyumbang kepada sumber pertanian di Bekenu malah untuk
pasaran tempatan di Miri.

Menurut tuan rumah yang menjadikan rumahnya sebagai tempat program kami
pada petang itu, antara masalah utama yang membelenggu penduduk di sekitar
Tiris adalah masalah pengambil-alihan tanah temuda atau NCR penduduk asal
di sana. Hingga setakat ini terdapat tiga PL atau kawasan tanah yang cuba
diambil-alih dan setakat ini satu PL telah digazetkan. Tuan rumah menyebut,
memang benar sekarang penduduk kampung telah memiliki tanah masing-masing
di kampung masing-masing di Tiris sebagai tempat penginapan mereka. Tetapi
ini tanah tersebut hanya untuk satu generasi untuk diwariskan turun
temurun. Yang menjadi kerisauan mereka adalah tanah untuk penempatan pada
masa dan generasi akan datang selain tanah-tanah terbabit menjadi keperluan
penduduk kampung untuk diusahakan sebagai sumber pendapatan melalui
pertanian.

Selain masalah tanah yang menjadi ibu segala masalah kebanyakan penduduk
asal peribumi Sarawak, masalah lain adalah jalan yang tidak sempurna.
Dimaklumkan bahawa jalan yang digunakan sekarang adalah satu-satunya jalan
masuk ke Tiris dan merupakan jalan balak sebelum ini. Disebut juga, sebelum
pilihanraya negeri yang lepas Kerajaan BN ada menjanjikan untuk membuat
jalan baru. Ya, memang ada jalan baru yang cuba dibuka masuk ke Tiris. Yang
menjadi masalahnya menurut penduduk kampung adalah kerja-kerja pembinaan
jalan tersebut dimulakan beberapa minggu sebelum pilihanraya negeri yang
lepas dan sehingga kini masih lagi tidak nampak apa-apa perubahan daripada
kerja-kerja awal tersebut. Sekiranya jalan tersebut dapat disiapkan dalam
kadar yang segera memandangkan jaraknya cuma sekitar 3 kilometer ia bakal
menjadi satu rahmat dan kemudahan yang amat baik kepada penduduk di Tiris.
Namun penduduk di Tiris perlu lebih banyak bersabar kerana selagi BN yang
memegang tampuk pemerintahan negeri dan pusat perkara ini akan dijadikan
umpan pada setiap kali pilihanraya.

Sebagai rekod, ADUN bagi Lambir iaitu YB En. Ripin Lamat berasal dari
Tiris. Sebagai ADUN seharusnya beliau perlu bersama-sama penduduk di Tiris
memperjuangkan hak penduduk di sini untuk memiliki sebuah kemudahan jalan
yang terbaik. Rasionalnya adalah berliau mempunyai akses kepada
jabatan-jabatan yang bertanggungjawab untuk kemudahan ini sebgai seorang
ADUN. Selain itu setiap tahun terdapat empat kali sesi persidangan DUN yang
sepatutnya menjadi medan kepada ADUN-ADUN untuk menyuarakan masalah-masalah
yang dihadapi oleh rakyat. Di samping itu, penduduk kampung yang menjadikan
pertanian sebagai sumber pendapatan mereka boleh menjadi seorang usahawan
tani yang Berjaya bila mana ada kemudahan yang baik untuk mereka membawa
hasil pertanian mereka untuk dipasarkan.

Itulah hakikat yang berlaku di Sarawak negeri yang saya sayangi, dikurnikan
oleh ALLAH dengan hasil bumi yang cukup melimpah ruah, mempunyai tanah yang
amat luas dibandingkan kepadatan pendudukan rakyatnya namun masih lagi jauh
kebelakang dari segi pembangunan infrastruktur asas seperti jalan, air,
elektrik dan sebagainya. Masih lagi masalah-masalah pengambil-alihan tanah
rakyat masih lagi kedenganran walaupun tanah di negeri yang amat luas
permukaan buminya.

Kesimpulan yang saya ingin sebut di sini adalah kerajaan BN yang selama ini
sentiasa mendakwa hanya mereka sahaja yang mampu membawa pembangunan dan
kemudahan kepada rakyat adalah satu pembohongan. Nasib rakyat di Tiris,
Bekenu menjadi bukti kepada pembohongan BN ini. Saya menyeru kepada seluruh
rakyat di Tiris, Bekenu, Miri dan rakyat Sarawak yang saya kasihi untuk
sama-sama melakukan perubahan dalam pilihanraya umum ke-13 nanti kerana
Pakatan Rakyat adalah harapan untuk membawa perubahan yang lebih baik demi
kesejahteraan rakyat dan bumi yang bertuah ini.




Mohammad Arifiriazul B Paijo

KETUA PEMUDA PAS SARAWAK

0 comments:

Post a Comment

Pautan Popular

Blog Ketua Pemuda PAS Malaysia

Pengunjung

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More