Selamat Datang

Blog Rasmi Pemuda PAS Sarawak

Anak Muda Memimpin Kebangkitan!

Ayuh anak muda Malaysia,kita buktikan!

Thursday 15 March 2012

Surat Terbuka Pemuda PAS Miri: Pemuda PAS Miri jemput Perkasa dan JATI ke Sarawak

Merujuk cadangan Presiden Perkasa, YB Ibrahim Ali untuk mewujudkan Akta Murtad, Dewan Pemuda PAS Miri dengan rasa rendah diri menjemput Perkasa, terutama Presidennya, YB Ibrahim Ali untuk membantu umat Islam terutama saudara baru di Sarawak.

Islam merupakan agama kasih sayang. Islam tidak pernah menekankan perlaksanaan hukuman dalam ajaran, tetapi lebih menekankan konsep tarbiah, iaitu pendidikan berterusan mengenai Islam. Ini yang ditekan PAS, terutama ketika menerang konsep hudud, yang tidak dipersetujui rakan Perkasa, UMNO.
Janggal sungguh apabila di kala umat Islam masih terkial-kial dengan agama mereka sendiri, pihak Perkasa menekan sungguh hukuman terhadap mereka yang kurang faham dan rasa terpinggir oleh saudara agama sendiri lantas bertindak keluar agama.

Kami jemput YB ke Sarawak. Di Sarawak, umat Islam bukan kaum majoriti. Umat Islam lebih kecil di sini, kecuali di kawasan-kawasan tertentu. Namun, menariknya umat Islam di Sarawak bukan hanya terdiri daripada kaum Melayu, malah terdiri daripada kaum Melanau, Iban, Bidayuh dan kaum-kaum Dayak lain. Mereka memeluk Islam kerana terpikat dengan keindahan Islam. Namun sayang seribu sayang, dek kerana kekangan umat Islam di Sarawak, baik dari sudut geografi dan kekurangan guru agama di Sarawak, mereka kadang kala terpinggir.

Malah yang menyedihkan, ada di kalangan saudara baru yang tidak mahir syahadah, solat dan ibadat-ibadat lain. Mereka masih sayangkan agama, tetapi sayangnya saudara seagama mereka di sini tidak mampu untuk membantu dek kekangan yang beribu. Tidaklah pula kami ingin menunding jari kepada pihak JAIS atau JAKIM, kerana kami faham, mereka kadang kala tidak mampu mengurus semuanya.
Kami Pemuda PAS pula, mungkin kerana status kami ahli pembangkang dihalang dengan segala kekuatan kerajaan untuk membantu, mendidik mereka mengenali Islam. Mungkin juga kerana pihak kerajaan sedia maklum, di mana pengajaran agama dipergiat, di situlah PAS bertapak kukuh. Kami hanya bingung dan kecewa dengan layanan berat sebelah terhadap kami Pemuda PAS. PAS ialah jemaah dakwah dan siasah, kewajiban menyebar agama tetap diteruskan walaupun tanpa kerusi DUN atau Parlimen.

Kami harap pihak Perkasa dan tidak lupa JATI yang ingin mempertahan kesucian agama singgah ke Sarawak. Kami Pemuda PAS tetap istiqomah mengajar agama, dengan segala bentuk dan saluran yang kami perolehi. Walau kami dihalang, kami tetap juga menguatkan diri melangkah ke surau-surau dan masjid-masjid membantu umat Islam terutama saudara baru untuk mengenal Islam.
Jangan pula YB salah faham mengatakan kami mahu orang murtad bebas dengan adanya surat ini, kami hanya mahu nasib umat Islam yang tidak faham agama terutama saudara baru dibela, bukan dihukum di atas ketidakfahaman mereka.

Mungkin juga YB merasakan Perkasa dan sahabat YB JATI tidak sesuai berjuang di Sarawak, kerana di sini, penganut Islam bukan hanya Melayu, malah terdiri daripada kaum-kaum lain. Jika begitu, benarlah cakap-cakap perjuangan Perkasa dan JATI ini tidaklah bersifat menyeluruh dan sejagat, hanya bersifat setempat.

Jika YB berhajat singgah ke Sarawak, hubungi kami. Kami sedia menyambut YB di lapangan terbang.

Pautan Popular

Blog Ketua Pemuda PAS Malaysia

Pengunjung

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More