Thursday 15 September 2011

PERUTUSAN HARI MALAYSIA - Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

PERUTUSAN HARI MALAYSIA
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kibarlah Jalur Gemilang.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

 : “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.


1. Setelah sekian lamanya, hari kemerdekaan disambut hambar terutama dari golongan muda Negara, tahun ini suasananya menampakkan sedikit kelainan. Rakyat tanpa mengira bangsa, agama taraf pendidikan, tua dan muda seluruhnya memperkatakan tentang kemerdekan yang sudah mencecah 54 tahun lamanya ini.

2. Generasi muda mula menyingkap kembali hakikat kemerdekaan yang menyentuh soal apa? Siapa? Kenapa? dan bagaimana kemerdekaan ini dicapai. Inilah hasilnya apabila generasi pasca merdeka dititipkan dengan versi kemerdekaan yang selama ini cuba dinafikan oleh pemerintah. Rakyat tidak sewajarnya dipaksa untuk hanya menerima satu jalur kefahaman sejarah yang bersifat terpilih dan ekslusif.



3. Kesannya kepada  rakyat,  khususnya anak muda tidak akan berasa terpanggil untuk sama-sama meraikan hari penuh bersejarah ini kerana meraka merasakan kemerdekaan yang dirayakan milik persendirian orang-orang tertentu sahaja. Dalam soal ini, pendirian DPPM adalah jelas. Kemerdekaan dan pejuangnya haruslah diberikan ta’rifan yang adil dan saksama, dengan tidak hanya terhad kepada mereka yang memegang ‘baton’ terakhir perjuangan.

4. Sementara kita mengiktiraf dan mengangkat Tunku Abdul Rahman dan golongan kanan yang seangkatan dengannya sebagai pejuang kemerdekaan janganlah digelapkan perjuangan awal menuntut kemerdekaan oleh anak bangsa dari kalangan ulama, nasionalis, sosialis yang lebih awal mendahului individu-individu yang hari ini nama mereka dijulang melangit.

5. Ketika rakyat tanah melayu yang rata-ratanya masih meragui akan kemampuan anak watan mebebaskan tanah air ini dari belenggu penjajah, pejuang-pejuang muda ini muncul melafazkan buat pertama kalinya kalimah MERDEKA ke serata pelusuk Negara.

6. Kemerdekaan yang kita sambut hari ini mungkin tidak menjadi kenyataan tanpa usaha awal yang digerakkan oleh Ibrahim Ibrahim Yaakob, Mustapha Hussain, Ishak hj Muhammad, Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestaman, Shamsiah Fakeh sertan lainya yang bergerak di bawah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang kemudiannya diganti dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Nama-nama ini sewajibnya diberi pengiktirafan yang jujur sebaris dengan tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain.

7. Ketika Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abd Razak masih berkhidmat sebagai pegawai kerajaan British mereka ini telah sekian lama menempuh keperitan menggugah minda rakyat yang terjajah untuk bangun menuntut kemerdekaan. Harga yang dibayar bukan sedikit. Ada dari kalangan mereka yang dibunuh, disiksa dan tak sedikit yang  dibuang negeri dan dipenjarakan.

8. Hari ini, tambah mengejutkan apabila ada dari kalangan sejarawan yang mengisahkan betapa tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak tidak pernah dijajah melainkan Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Selebihnya British hanya bertindak sebagai penasihat kepada negeri-negeri melayu serta Sabah dan Sarawak.

9. DPPM pertamanya ingin menegaskan, dalam menilai sejarah kita harus melihatnya daripada perspektif pribumi yang mendiami dan merasai sendiri bagaimana kekayaan negaranya diperah dan dipunggah, sistem hidupnya dicatur dan ditukar, rakyatnya dipecah dan diperintah. Penjajahan dan  kemerdekaan harus difahami dalam kontek dan falsafahnya yang lebih luas.

10. Penjajahan dan kemerdekaan tidak seharunya ditandai hanya dengan keluarnya fizikal dan batang tubuh kuasa asing daripada sempadan geografi tanah ini sahaja, tetapi ia harus ditandai dengan bebasnya watan ini dari sebarang bentuk unsur penjajahan mental dan fizikal. Inilah kemerdekaan yang dianjurkan oleh Islam. Kemerdekaan yang membebaskan manusia seluruhnya daripada menjadi hamba sesama manusia dan segala sistemnya kepada menjadi hamba yang mutlak kepada Allah. Inilah juga slogan sebahagian daripada para pejuang awal kemerdekaan.

11. Abdul Majid Salleh merakamkan didalam memoirnya, apabila setiap kali ahli PKMM bertemu sesama mereka ungkapan yang akan meniti dibibir ialah MERDEKA sambil tangan digenggam dan dijulang ke atas. Gengaman tangan yang dijulang ke atas itu mempunyai falsafahnya sendiri. Ia adalah simbolik kepada lima perkara yang menjadi sari penting kemerdekaan .  Merdeka politik, Merdeka ekonomi, merdeka beragama, merdeka social dan merdeka budaya. Dalam ertikata lain merdeka yang didambakan adalah merdeka yang mutlak dalam ertikatanya yang sebenar.

 12. Kemerdekaan yang kita raikan hari ini bertambah warna-warni dengan kita sekaligus meraikan hari Malaysia. 48 tahun yang lalu upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

13. Sambutan Hari Malaysia ini harus menjadi ingatan kepada kita betapa kedudukan semua negeri di Malaysia adalah sama selaras dengan prinsip-prinsip federalism. Justeru, sambutan hari Malaysia ini haruslah diterjemahkan dengan menunjukkan komitmen kita untuk mendukung kuat semangat federalism yang menjadi tunjang Malaysia.

14. Malangnya, semangat ini hanya tinggal slogan. Sikap pilih kasih dan ‘double standard’ terus menerus menjadi barah yang merosakkan kerukunan Negara kita Malaysia. Negeri-negeri seumpama Kelantan, Sarawak dan Sabah dinafikan hak mereka sungguhpun kaya dengan sumber alam semulajadi. Apa yang tinggal hanyalah janji-janji manis yang ditabur setiap kali menjelang pilihanraya sedangkan pribumi ini semakin menderita.

15. Kajian Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan bahawa kemiskinan yang paling serius di Malaysia adalah di kalangan komuniti pribumi di Sabah dan Sarawak. Ironinya Sarawak merupakan negeri yang diahugerahkan Allah dengan hasil bumi yang banyak. Dengan segala anugerah ini sudah sepatutnya Sarawak menjadi negeri kaya yang termaju di Malaysia.

16. Malangnya fakta dan angka yang ada menunjukkan masih terdapat banyak kampung yang belum dihubungkan dengan jalan raya dan lebih dari satu perempat isi rumah tidak ada akses kepada elektrik di Sabah dan Sarawak,. Selain itu, lebih 40 peratus isi rumah di Sabah dan Sarawak masih tiada kemudahan air bersih dan air yang dirawat. Menurut perangkaan, seramai 25,254 penduduk di Sarawak masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang melibatkan penduduk tempatan yang tidak memohon dan penduduk warga asing yang telah lama menetap di Sarawak.

17. Maka tidak hairanlah apabila rakyat bersifat pesimis dan prejudis akan hasrat untuk membentuk sebuah Negara bangsa yang kukuh, bersatu padu kearah Malaysia baru yang lebih gemilang. Sekadar kita meraikan hari Malaysia tidak membawa apa-apa makna sekiranya pemerintah yang ada tidak mampu dan mahu untuk melakukan perubahan.

18. Maka DPPM mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, dan warna kulit untuk kita menoktahkan segala kepalsuan yang ada. Malaysia adalah milik kita bersama. Marilah sama-sama kita berganding bahu membebaskan Negara ini daripada saki baki penjajahan yang masih tersisa kearah pembentukan Malaysia baru yang adil untuk semua.

19. Anak muda ! Kibarlah Jalur Gemilang dengan semangat patriot, kasih dan cinta kepada tanahair serta setiap warga anak bangsanya. Semoga lahir generasi merdeka yang menepati erti dan makna kemerdekaan yang sebenar tanpa saduran emas bikinan penjajah yang cuba melindungi hakikat penjajahan yang masih berterusan.

20. Sebagaimana kita telah melalui episod sejarah yang gemilang dengan menatah nama - nama pejuang dan pahlawan yang hebat mempertahankan maruah negara dan bangsa, marilah kita hari ini mencipta sejarah masa depan dengan dengan segala upaya dan kelebihan yang kita miliki bagi melakar wajah Malaysia Baru yang bukan sahaja merdeka dari penjajah tetapi bebas dan merdeka dari rasuah, nepotisme serta penindasan ekonomi  dan politik moden hari ini.


 Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Pautan Popular

Blog Ketua Pemuda PAS Malaysia

Pengunjung

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More