Monday, 1 August 2011

DPPK Miri Seru Anak Muda Mendaftar Sebagai Pemilih

Dewan Pemuda PAS Kawasan Miri menyeru semua pemuda pemuda Miri untuk mendaftar sebagai pemilih bagi persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 yang mendatang. Dalam pilihanraya negeri yang lepas, Miri menyaksikan kebangkitan rakyat dengan menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi 2 daripada 3 DUN yang dipertandingkan. BN memenangi DUN Senadin selepas beberapa kontroversi yang menyaksikan Pakatan Rakyat melalui PKR kalah tipis kepada calon SUPP dalam pilihanraya lepas.Kebangkitan ini perlu diteruskan dan gelombang kesedaran rakyat di kalangan pemuda dan pemudi mestilah diterjemahkan melalui kertas undi di hari pengundian.


Statistik yang dikeluarkan SPR, lebih 4 juta warganegara yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pemilih. Daripada jumlah itu, hampir lebih 2 juta merupakan bumiputera Melayu dan Sarawak. Jumlah ini amat tinggi dan perlu diambil tindakan segera. Selaku anak muda yang mencorak masa depan Sarawak dan masa depan Malaysia, anak muda perlu mengambil tindakan segera mendaftar sebagai pemilih, bagi melayakkan diri sebagai penentu masa depan negara. Janganlah menunggu hingga ke saat akhir sebelum pilihanraya, kerana proses pendaftaran boleh memakan masa sehingga 3 bulan. Proses pendaftaran pemilih, boleh dibuat di Pejabat SPR dan Pejabat Pos terpilih. Selain itu, pendaftaran boleh dibuat dengan ajen-ajen pendaftar yang dilantik SPR. 

Dewan Pemuda PAS Kawasan Miri juga, melalui ajen-ajen daftar pemilih yang dilantik SPR akan terus memberikan komitmen terhadap usaha daftar pemilih ini. Dewan Pemuda PAS Kawasan Miri, akan secara membuka kaunter-kaunter daftar pemilih di setiap program bersama anak muda di sekitar Miri. Tindakan proaktif ini juga, akan diadakan secara berkala bagi membantu proses pendaftaran dan semakan daftar pemilih.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Miri juga menggesa SPR, sebagai badan bebas yang dilantik mengurus pilihanraya untuk mengambil langkah proaktif bagi menggalakkan pendaftaran pemilih di kalangan anak muda. SPR diseru untuk membuka kaunter pendaftaran pemilih di kawasan-kawasan tumpuan ramai, dan mendekati anak muda secara agresif. SPR sepatutnya tidak mengambil langkah tunggu dan lihat, dan hanya mengambil langkah kempen di saat-saat akhir pilihanraya diumumkan. Gunakanlah segala kemudahan dan infrastruktur yang ada bagi menjalankan tanggungjawab dalam menjalankan proses pilihanraya yang bersih. 
Abdul Hadi Bin AliasKetua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Miri

0 comments:

Post a Comment

Pautan Popular

Blog Ketua Pemuda PAS Malaysia

Pengunjung

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More